Pelakon dan penerbit terkenal, Ziela Jalil tidak menyalahkan pelakon Sharnaaz Basir Ahmad, 29, semata-mata berhubung insiden pergaduhan yang berlaku baru-baru ini di lokasi penggambaran drama 60 episod, Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Drama itu terbitan syarikat Ziela, Pena Creative Pictures dan kejadian itu berlaku di Kuang dan Sungai Buloh pada 19 dan 21 Februari lalu. Lisdawati telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Dang Wangi baru-baru ini. Dia mendakwa dirinya dimaki hamun dan dikasari pelakon berkenaan di lokasi tersebut.
Kata Ziela, pelbagai tuduhan tidak baik tentang Sharnaaz selama ini adalah cakap-cakap orang yang tidak tahu hakikat siapa diri sebenar Sharnaaz.
"Sharnaaz bukan lelaki seperti yang diperkatakan oleh umum selama ini. Dia orang yang baik dan tidak adil untuk saya labelkan dia sebagai orang jahat setelah meneliti kes ini," katanya kepada Hits ketika dihubungi semalam.
Kepada wartawan Hits, GARRET DAWUM, Ziela menjawab enam persoalan tentang aktor itu yang dikatakan mempunyai musuh baharu dalam industri iaitu pelakon Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi.
HITS: Tahu atau tidak pasal pergaduhan melibatkan pelakon Sharnaaz dengan Lisdawati dan Fauzi tu?
ZIELA: Jujurnya, saya tidak tahu tentang kejadian ini. Saya sibuk dan tidak sempat untuk mengetahui apa yang berlaku. Tetapi, pagi tadi saya ada menerima satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kenalan. Dia beritahu, ada insiden Sharnaaz bergaduh dengan Lisdawati serta suaminya, Fauzi di lokasi drama saya. Kata kawan saya, dia terbaca laporan itu daripada salah sebuah akhbar tempatan.
Pada pengetahun dan pandangan Ziela, siapa betul dan siapa salah sebenarnya?
Saya tidak boleh lagi rumuskan perkara itu. Siapa salah atau siapa betul, saya tak tahu kerana saya sendiri tidak baca lagi laporan itu. Jadi, saya tidak mahu komen panjang buat masa sekarang. Cuma di sini, saya ingin beritahu, kedua-dua mereka ada nombor telefon saya dan tahu mereka bekerja dengan drama terbitan syarikat saya. Kenapa tidak menelefon terus kepada saya jika ada perkara seperti itu berlaku? Mungkin saya boleh selesaikannya dengan baik, tidak perlu menggunakan orang tengah seperti sekarang ini.
Apakah tindakan terhadap mereka selepas ini?
Sebelum itu, terima kasih kerana maklumkan perkara ini kepada saya. Saya sendiri akan hubungi kedua-dua pelakon tersebut dan tanya mereka sendiri apa sebenarnya berlaku. Saya perlu dapatkan pandangan daripada kedua-dua pihak supaya perkara ini tidak dipanjangkan lagi. Industri kita kecil sahaja, kalau ada cerita macam ini tidak eloklah. Sebagai majikan, saya akan berusaha menjernihkan keadaan. Bukan hanya Sharnaaz atau Lisda, saya juga akan bertanyakan kepada pihak produksi apa sebenarnya yang berlaku. Baru kita tahu, siapa sebenarnya yang menjadi punca.
Secara peribadi, apa pandangan Ziela tentang Sharnaaz yang selalu dikatakan sebagai lelaki panas baran?
Sharnaaz seorang yang profesional. Walaupun orang sering labelkan dia sebagai seorang pelakon yang bermasalah, tetapi hakikatnya dia bukan lelaki yang sebegitu. Dia seorang yang baik dan saya boleh nilai daripada cara dia bercakap dengan orang lain secara berdepan. Mungkin ada masa tertentu, dia akan menunjukkan sikap agresifnya tetapi boleh lagi dikawal. Jadi, tidak adil untuk saya menyimpulkan dia sebagai orang jahat dan menggunakan cerita-cerita lamanya untuk saya tidak mengambil dia berlakon. Saya cuba yang terbaik kerana saya tahu dia seorang pelakon yang sangat berbakat.
Mungkin kerana insiden ini, ia akan mempengaruhi penonton untuk tidak menonton drama terbitan anda?
Tidak! Itu sahaja boleh saya katakan. Sekarang ini, penonton kita semua cerdik. Mereka tahu menilai bakat artis, bukan berdasarkan kisah peribadi. Takkan hanya kerana pergaduhan itu mereka tidak mahu menonton drama saya? Dan itu juga bukan gimik untuk saya meraih publisiti supaya mendapat rating yang tinggi.
Macam mana pula dengan tontonan drama ini setakat ini?
Alhamdullilah. Setakat ini, drama ini diterima oleh orang ramai. Maklum balas tentang drama ini juga sangat baik dan ada yang memuji drama terbitan saya ini. Drama ini juga sudah habis menjalani penggambaran semalam. Terima kasih kepada semua produksi di atas bantuan dan kerjasama mereka dalam menjayakan drama ini. - Utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment