BANGKOK 7 Dis. - Satu siasatan yang dijalankan mendakwa pegawai imigresen Thailand menjual beratus-ratus penduduk etnik Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada konflik agama dan puak di Myanmar, kepada sindiket penyeludupan manusia.
Reuters yang menjalankan siasatan ke atas kes itu di tiga buah negara dalam satu laporan kelmarin menyatakan, pelarian Rohingya dipindahkan dari pusat tahanan imigresen dan diserahkan kepada anggota sindiket tersebut yang menunggu di tengah laut.
Mereka dipindahkan secara rahsia ke selatan negara ini dan ditahan di dalam kem yang dikawal rapat berdekatan sempadan Thailand dan Malaysia sehingga ahli keluarga membayar wang tebusan untuk membebaskan mereka.
Pelarian yang tidak dibayar wang tebusan akan dijual kepada syarikat perkapalan atau perladangan.
Beribu-ribu pelarian Rohingya didakwa telah dihantar ke kem tersebut dan sejumlah mereka mati sama ada dibunuh oleh pengawal kem tersebut atau akibat penyakit.
Seorang pelarian yang terselamat, Muhammad Ismail berkata, pihak berkuasa pada mulanya mengambil cap jari seolah-olah akan dipindahkan ke tempat lain secara rasmi namun kemudian dimaklumkan mereka dijual selepas berada dalam bot.
Seorang lagi mangsa, Bozor Mohamed berkata, dia bersama Muhammad Ismail dibawa ke sebuah kem di selatan Thailand yang dikawal oleh lelaki bersenjata.
"Seorang mati setiap hari kerana penyakit atau tidak diberikan minuman atau makanan," katanya.
Bozor berkata, dia dibebaskan selepas abang iparnya di Malaysia membayar kira-kira AS$2,000 wang tebusan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berjanji akan menyiasat laporan Reuters tersebut. - REUTERS
0 comments:
Post a Comment