PUTRAJAYA – Tindakan pengikut fahaman Syiah yang menghalalkan zina menerusi nikah mutaah dipercayai menjadi faktor penarik kepada segelintir umat Islam khususnya lelaki untuk terjebak dalam fahaman yang sudah difatwakan diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Aizam Mas’od, berkata nikah mutaah amat dimuliakan di kalangan pengikut syiah dan perkara itu memang diajar guru Syiah kepada anak murid yang ingin mendalami fahaman itu.
“Malah, mereka buat hadis palsu mengenai mutaah dengan mengatakan sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala besar.
“(Jadi) Tidak dapat dinafikan perkara itu (nikah mutaah) adalah satu faktor yang menarik orang ramai masuk Syiah tak kira dewasa atau remaja, mengikut statistik yang kita ada seramai 141 individu yang membuat perakuan sumpah pengikut syiah di negara kita, dan kebanyakannya adalah lelaki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Perdana Maal Hijrah dan Wacana Bakti bertajuk Kesesatan dan Fahaman Syiah anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Ceramah kira-kira dua jam itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri dan juga Naib Yang Dipertua BAKTI, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Majlis turut dihadiri 70 tetamu yang terdiri daripada ahli Bakti, Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Mohd Aizam berkata, ketika ini terdapat kira-kira 200 juta pengikut Syiah di seluruh dunia dan sebahagian besar berada di Iran, Iraq, India, Pakistan, Bahrain, negara Teluk dan Afghanistan; manakala di Indonesia dianggarkan terdapat dua juta pengikut Syiah.
“Di Thailand pula dianggarkan sekitar 21,000 khususnya di Selatan Thailand yang juga berjiran dengan beberapa negeri di Semenanjung seperti Kelantan, Perlis dan Kedah, manakala di Singapura juga terdapat kira-kira 5,000 pengikut.
“Di Malaysia pula terdapat antara 1,500 hingga 2,000 pengikut khususnya orang Melayu tidak termasuk warga asing yang datang melancong, belajar atau menetap sementara di negara ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan modus operandi untuk menyebarkan fahaman Syiah di negara ini termasuk membuat permohonan supaya Syiah dijadikan mazhab sah, menyebarkan risalah perpaduan di masjid dan surau mengajak bersatu dengan mereka di atas nama al-Quds dan menyusup menerusi agensi pelancongan dengan menyebarkan buku Syiah melalui pangkalan data pelanggan mereka yang menunaikan haji atau umrah.
Selain itu, katanya pengikut syiah juga mengupas isu global; membuat perakuan sumpah bahawa mereka pengikut Syiah dan menyusup menerusi novel sastera seperti novel yang ditulis Faizal Tehrani berjudul Perempuan Nan Bercinta.
“Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita… malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.
“Namun, buku ini sudah diperakukan haram oleh JAKIM. Antara buku Syiah lain yang juga sudah diambil tindakan adalah Meniti Titian Kebenaran, Akhirnya Kutemui Kebenaran, Dialog Sunnah Syiah dan Salafi Wahabi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati supaya tidak terjerat dengan fahaman Syiah kerana pengikut mereka menggunakan cara halus atau secara tidak langsung untuk menarik umat Islam menyertainya.
“Penyelewengan seksual dalam Syiah berat sebenarnya, ia bukan sekadar mutaah, tetapi dalam Syiah juga mengharuskan liwat, fatwa Khoemaini dalam kitab Tahrir al-Wasilah menyebut harus meliwat isteri.
“Itu sebab kita kata ajaran Syiah betul-betul mendiskriminasi kaum wanita, yang tak sepatut dan logik seorang wanita masuk Syiah, ajaran ini meruntuh dan merosakkan maruah wanita, ini bukan memperjuang hak asasi tetap meruntuhkan hak asasi,” katanya.
Mohd Aizam berkata, sehingga kini 14 negeri sudah mengharamkan ajaran Syiah dan 12 negeri sudah mewartakan undang-undang itu, manakala dua lagi negeri iaitu Sabah dan Sarawak belum berbuat demikian. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment