Disebabkan kesibukan Ning Baizura dan suaminya, Omar Sharif Christopher Layton dengan urusan kerja masing-masing, anak mereka, Ryan Sky Dalton, yang hampir berusia enam bulan adakalanya terpaksa dijaga oleh ibu kepada diva bersuara soprano itu.
Namun apa yang kelakarnya suami Ning berasa agak risau sekiranya Ryan dijaga terlalu kerap oleh ibu mentuanya itu kerana bimbang anak mereka akan membesar menjadi lelaki lembut.
Memetik laporan Harian Metro, Ning berkata, “Ryan bayi yang aktif dan dia sudah pandai berguling-guling. Apabila saya keluar bekerja, Ryan dijaga emak saya (Syatilla Abdullah) dan tahu sajalah macam mana seorang nenek menjaga cucu. Omar yang melihat cara emak menjaga Ryan melahirkan rasa bimbang apabila besar nanti anak lelakinya itu akan menjadi lelaki lembut.
“Nak tergelak pun ada sehingga saya terpaksa meyakinkan Omar yang Ryan akan membesar menjadi lelaki normal. Di bawah asuhan neneknya sendiri yang melimpahkan kasih sayang tidak bertepi kepadanya, apabila besar nanti Ryan akan menjadi anak yang tahu menghargai kasih sayang orang dan dia sendiri akan menjadi insan penyayang,” kata penyanyi itu lagi.
Ning dan suaminya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman Omar yang terletak di Birmingham, United Kingdom sekali gus mahu memperkenalkan permata hati mereka kepada keluarga di sebelah sana yang masih belum berpeluang bertemu dengan Ryan yang telah dilahirkan pada 31 Januari lalu.
-Mynewshub.my
Sumber
0 comments:
Post a Comment