PETALING JAYA : “Kenapa anda melakukannya?” tanya para pemberita apabila suspek pembunuh Ng Yuk Tim dibawa masuk ke dalam Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Rabu.
“Saya tidak tahu…,” jawabnya dengan acuh tidak acuh.
Ditanya adakah dia menyesali di atas perbuatan jenayah yang dilakukannya, suspek yang berusia 23 tahun itu berkata, “Sudah terlambat untuk saya menyesal.”
Lelaki berkenaan direman polis sehingga 29 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Yuk Tim, 15, yang ditemui mati dan disumbatkan ke dalam beg pakaian pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan perkara itu menambah bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dilaporkan bahawa Yuk Tim meninggalkan rumah pada pukul 11 pagi Isnin dan pergi ke rumah suspek di Kampung Cempaka di Kelana Jaya untuk membuat pakaian kostum bagi suatu majlis.
Lelaki itu mengaku cuba untuk merogol budak perempuan itu sebelum memukulnya menggunakan ‘dumbbell’ dan menyebabkannya mati serta-merta.
Pada awalnya lelaki terbabit mendakwa dia menghantar budak perempuan itu di stesen LRT Kelana Jaya pada kira-kira pukul 3.30 petang.
Suspek diserahkan ke Balai Polis Petaling Jaya oleh seorang pemerhati jenayah, Kuan Chee Hong yang terlebih dahulu menyiasat suspek.
Kuan diminta oleh ibu mangsa untuk membantunya mencari anak perempuannya yang hilang.
Pemerhati jenayah itu kemudiannya bersetuju untuk bertemu ibu mangsa di sebuah restoran di Kelana Jaya.
Beliau mendapati suspek turut berada bersama ibu mangsa untuk menemuinya.
Ketika mereka sedang berbual, Kuan menyedari terdapat kesan gigitan pada tangan kiri suspek.
Dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena lalu menyoal siasat suspek dengan soalan yang bertubi-tubi yang akhirnya membawa kepada pengakuan suspek yang dia cuba merogol mangsa dan apabila mangsa bertindak mengigit tangannya dia telah menghentak kepala mangsa dengan satu objek sekaligus membawa kepada kematian mangsa.
Suspek kemudiannya membawa polis menemui mayat yang dipercayai Yuk Tim, yang disumbat ke dalam beg pakaian dekat Kota Kemuning di Shah Alam pada kira-kira pukul 8.30 malam pada Selasa. – mstar online
Sumber
0 comments:
Post a Comment