KUALA LUMPUR 11 Jun - Harga kereta popular yang
dikeluarkan di negara-negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1.5cc
di pasaran tempatan sepatutnya lebih murah kerana duti eksais yang
dikenakan oleh kerajaan Malaysia hampir setara dengan duti yang
dikenakan di negara jiran, Thailand dan Indonesia.
Secara purata, duti eksais yang dikenakan ke atas model-model popular
berkenaan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus di negara ini, manakala
di Thailand dan Indonesia cukai yang sama antara 30 hingga 50 peratus.
Menurut sumber industri, misalnya, sepatutnya harga kereta-kereta
berkenaan di Malaysia secara kasarnya hanya lebih RM5,000 daripada harga
model yang sama di Thailand.
Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia di laman web rasmi
jenama kereta-kereta berkuasa 1.5cc di negara ini menunjukkan lebihan
harga antara RM17,000 hingga RM19,000 jika dibandingkan dengan harga
kereta di Thailand.
"Contohnya di Thailand, selain dikenakan duti antara 30 hingga 50
peratus berkenaan, pengeluar turut perlu membayar cukai jualan serta
cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di Malaysia pula, cukai jualan
adalah 10 peratus.
"Jumlah duti yang dikenakan kepada pengeluar hampir sama (untuk model
1.5cc dan ke bawah) tetapi harga akhir kereta di negara ini menunjukkan
jurang yang agak tinggi," kata sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, tahun lepas, harga kereta sesetengah model di Indonesia lebih rendah berbanding Malaysia.
Bagaimanapun, pada tahun ini harga sesetengah model itu didapati
lebih murah di negara ini walaupun tidak mendapat penurunan duti eksais
kerana faktor kemasukan jenama-jenama baharu.
Situasi itu jelas menunjukkan harga kereta di Malaysia boleh
diturunkan oleh pengeluar kereta walaupun tanpa penurunan duti eksais.
Mengenai cara penurunan cukai secara drastik, kerajaan pernah
melaksanakannya bermula pada 2006 dengan pengenalan Dasar Automotif
Nasional (DAN) dengan pengurangan duti import dan duti eksais secara
keseluruhan sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk sebuah kereta.
Tetapi menurut sumber itu, apa yang berlaku di pasaran tidak sama
seperti diharapkan oleh kerajaan kerana harga kereta tidak banyak turun.
Secara purata, pengeluar kereta hanya mengurangkan harga kereta
sebanyak lima peratus berbanding 20 hingga 30 peratus yang disasarkan
kerajaan.
DAN baharu yang dijangka diumumkan tahun ini diharapkan dapat
mewujudkan dasar baharu yang membolehkan industri tempatan terus
kompetitif untuk bersaing dengan Thailand terutamanya dari segi harga
kereta yang menjadi keutamaan rakyat ketika ini.
Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, DAN
merangkumi pelan jangka panjang sehingga 2025 manakala untuk jangka
pendek iaitu dalam tempoh lima tahun lagi, kerajaan menyasarkan pasaran
automotif tempatan mampu bersaing di peringkat serantau.
"Malaysia mengamalkan dasar terbuka 10 tahun lewat dari Thailand dan kita memerlukan sedikit masa untuk mengejar mereka.
"Kita juga menggunakan cara yang sesuai dan dengan dasar sendiri iaitu memberi keutamaan kepada pembangunan industri tempatan.
"Fokus kami adalah membangunkan industri kenderaan cekap tenaga
(EEV). Ketika ini sudah beberapa jenama melabur di sini dan kami juga
sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat dari Eropah yang
turut menyatakan minat bertapak di Malaysia," katanya. - Utusan -
0 comments:
Post a Comment