KUALA LUMPUR 11 Jun - Seorang daripada dua
individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Pulau Pinang untuk diambil keterangan pagi tadi.
Dia ditahan untuk diambil keterangan berhubung komen berunsur
penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook milik
rakannya, Melissa Gooi sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah
ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan wanita terbabit di Pulau
Pinang untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Selasa lalu, seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan
nama Melissa Gooi ditahan di Taman Nirwana, Ampang kerana didakwa
mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam salah satu
status miliknya diikuti empat lagi rakan yang memuat naik komen berunsur
penghinaan.
Tiga hari kemudian, dua rakannya menyerah diri dan dibebaskan dengan
jaminan polis selepas diambil keterangan oleh polis dan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). - Utusan -
0 comments:
Post a Comment