BESUT - Pelbagai kejadian misteri dan aneh didakwa berlaku sebelum
seorang OKU yang sesat di kaki Gunung Tebu dekat Jabi, di sini, ditemui
dan dibawa keluar dari hutan berkenaan, malam kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, mangsa, Kamarulzaman Ibrahim, 46, berkata,
dia ke Hutan Lipur Lata Belatan (kaki Gunung Tebu) untuk berkelah
bersama ibunya, Siti Nor Kasar, 62, anak saudara dan rakan anak
saudaranya yang kesemuanya seramai 10 orang.
Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi, dia tiba-tiba ternampak jalan
cantik seperti laluan motosikal menghala ke arah puncak gunung.
“Saya seolah-olah diarah untuk mengikuti jalan itu ke arah puncak
gunung tanpa rasa sakit walaupun saya mengalami masalah kecacatan pada
kaki,” katanya yang menetap di Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut.
Muntah dan pengsan
Kamarulzaman yang juga guru al-Quran berkata, dia terus berjalan
mengikut laluan berkenaan sehinggalah tiba di satu lokasi, dia mula
keletihan dan muntah sebelum pengsan.
Katanya, sebaik tersedar daripada pengsan, dia mendapati jalan yang
dilalui sudah tiada, malah tidak ada sebarang denai di kawasan itu.
“Saya sendiri hairan macam mana saya boleh turun ke bawah cerun dan
berada berhampiran batu besar sedangkan kalau dalam keadaan biasa pun,
sudah tentu saya tidak boleh lakukan sebab kawasan itu memang susah
dilalui, lagipun kaki saya cacat.
"Mujur saya bawa telefon bimbit, bila dapat saja isyarat telefon, saya
cuba hubungi talian kecemasan, masa itu jam 2.02 petang dan usaha saya
berjaya, saya terus beritahu sesat,” katanya.
Kamarulzaman yang keletihan ketika itu kemudian menerima panggilan
daripada seseorang yang bertanyakan keadaan di sekeliling tempatnya
berada sambil mengarahkan dia supaya kekal di lokasi tersebut.
Orang yang menghubunginya ialah pemandu arah aktiviti lasak, Mohd Amir
Hussin, 28, yang mahir selok-belok dan keadaan hutan di situ termasuk
Gunung Tebu.
Difahamkan Mohd Amir mengambil masa 40 minit ke lokasi Kamarulzaman
berada yang kebiasaannya memakan masa kira-kira 2 jam untuk pendaki
biasa.
Laung azan
Kata Mohd Amir, dia berjaya menemui mangsa yang berada di bawah cerun berhampiran batu-batu besar pada jam 4.05 petang.
“Walaupun saya berada kira-kira 30 meter dengan kedudukan mangsa yang
berada di seberang cerun, tapi kami tak dapat bercakap kerana
masing-masing tidak boleh mendengar walaupun kami memekik sekuat hati.
“Saya terpaksa berhubung melalui telefon dan kemudian selepas kami
sama-sama melaungkan azan, barulah saya dengar laungan azan mangsa
begitu juga dia dan kami boleh bercakap,” katanya.
Sukar cari jalan keluar
Meskipun kejadian yang berlaku agak misteri, namun ia bukanlah perkara
pelik bagi Mohd Amir yang berpengalaman mencari orang sesat kerana dia
juga pernah tersesat selama dua hari di kawasan sama beberapa tahun
dulu.
Bagaimanapun Mohd Amir mengakui, walaupun berpengalaman, dia turut
berdepan kesukaran untuk menghampiri mangsa kerana keadaan muka bumi
yang amat curam.
"Saya terpaksa berpaut dan bergayut pada akar di tebing batu untuk
turun ke tempat mangsa, saya tak tahu macam mana dia (Kamarulzaman)
boleh sampai ke situ dengan mudah," katanya.
Mohd Amir berkata, selepas menghampiri mangsa, dia sendiri hilang arah
apabila tidak dapat mengesan sebarang denai termasuk yang dilaluinya
sebelum itu untuk membawa mangsa keluar dari hutan yang jaraknya
kira-kira satu kilometer dari pusat perkelahan Lata Belatan.
“Keadaan Kamarulzaman ketika itu agak keletihan, saya beri kata-kata
semangat kepadanya agar dia bertenang kerana kami pasti dapat keluar,”
katanya yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Polis.
Sehingga jam 8.30 malam, kedua-dua mereka belum berjaya mencari jalan
keluar, namun sebelum itu Mohd Amir sempat mengirim beberapa keping
gambar kepada rakannya yang berada di bilik gerakan di Lata Belatan
melalui telefon.
Dia juga menghubungi rakan dan pasukan penyelamat lain bagi memaklumkan
mereka hilang arah dan sedang berusaha mencari denai untuk keluar dari
hutan terbabit.
Hanya alami calar kecil
Ketua Operasi Mencari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Seman Awang
berkata, Mohd Amir berjaya membawa keluar mangsa ke pusat gerakan di
Lata Belatan, kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, kedua-dua mereka hanya mengalami calar kecil akibat terkena duri.
"Kamarulzaman memang nampak keletihan kerana tidak makan sejak pagi selain terpaksa melalui jalan berbukit," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainya Mohd
Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota
dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut,
Pejabat Hutan Daerah dan orang awam dihentikan pada jam 9.30 malam,
kelmarin.
Katanya, Kamarulzaman dihantar ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Sementara itu, bapa Mohd Amir, Hussin,60-an yang ditemui di tempat
kejadian berkata, dia sememangnya mengesyaki ada sesuatu akan berlaku di
kawasan tersebut kerana malam dua hari sebelum kejadian, dia terdengar
suara seperti orang perempuan sedang membaca al-Quran dari arah hutan
berkenaan. -sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment