Satu percubaan mencipta rekod dunia terjun bebas dengan 220 orang penerjun dari sebuah pesawat di Arizona, Amerika Syarikat bertukar menjadi tragedi semalam apabila seorang daripada mereka maut kerana payung terjunnya gagal berfungsi.
Menurut anggota Jabatan Polis Eloy, Brian Jerome, mangsa dikenalpasti sebagai Diana Paris, 46 tahun, berasal dari Berlin, Jerman.
Menurut suami mangsa, Paris sudah pernah melompat lebih dari 1,500 kali.
Penganjur cubaan berkenaan World Team berkata kejadian berlaku disebabkan kegagalan payung terjun yang cuba dikembangkan terlalu hampir dengan daratan. Paris disahkan mati di tempat kejadian.
“Ia tiada kena mengena dengan saiz kumpulan penerjun atau pun pesawat, ia adalah kerana kegagalan payung terjun,” kata jurucakap World Team Gulcin Gilbert.
Menurut laporan laman web nydailynews.com, kemalangan itu berlaku ketika pasukan itu melakukan percubaan mencipta rekod yang digelar ‘terjunan formasi’ semalam.
Percubaan itu dilakukan oleh 222 orang dari 28 buh negara dengan terjun dari ketinggian 18,000 kaki di udara, melakukan satu formasi dan kemudian menukar formasi lain sebelum mengembangkan payung terjun mereka.
Para penerjun bebas yang terjun dari ketinggian itu perlu memakai topeng oksigen ketika berada dalam pesawat. Pasukan itu memerlukan 10 buah pesawat untuk membawa mereka semua ke ketinggian yang diperlukan.
Terjunan itu mengambil masa kira-kira 70 saat untuk disempurnakan.
Percubaan pada Khamis gagal kerajan tragedi itu, tetapi mereka telah terjun sekali lagi pada hari sama sebagai penghormatan kepada Paris dan telah membuat keputusan untuk meneruskan percubaan mencipta rekod.
Tempat Paris dalam formasi itu akan dibiarkan kosong sebagai penghargaan kepadanya.
“Kita tidak akan menggantikan tempatnya,” kata Gulcin.
SUMBER: MYNEWSHUB.MY
0 comments:
Post a Comment