Monday, 6 January 2014

Mila AF5 Bakal Kahwini VIP????

// // Leave a Comment


SUATU ketika dulu, penyanyi kecil molek ini pernah dikaitkan dengan seorang VIP yang berbangsa Cina, punya jet peribadi dan pernah menaja klip videonya.

Meskipun pada mulanya bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) enggan mengambil pusing dengan dakwaan itu, mamun lama-kelamaan ia semakin menjadi buah mulut orang.

Menyedari dakwaan itu akhirnya menjejaskan kredibiliti dan imejnya, Mila Jirin, 27, kemudiannya tampil memberikan penjelasan.

Menafikan perkara itu sekeras-kerasnya, jelas Mila, VIP itu merupakan kenalan rapat bapanya di Pulau Pinang yang menetap di luar negara. Pengakuannya itu sekali gus meredakan gosip yang bertebaran di saat itu.

Kini, setelah beberapa tahun berlalu, Mila mengakui hatinya sudah dimiliki. Di tebak pertanyaan, apakah jejaka itu juga merupakan seorang yang berstatus VIP, Mila bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kekasih hatinya itu.

“Saya kenal dia dah lama, dia seorang ahli perniagaan dan kami baharu saja menjalinkan hubungan yang lebih serius.

“Saya selesa berkawan dengannya kerana dia seorang yang memahami dan tahu apa matlamat hidup saya,” katanya yang mengakui jejaka itu sering memberikan sokongan padanya untuk meneruskan empayarnya menjadi selebriti dan seorang usahawan yang berjaya.

Jelas Mila, dia juga tidak mahu terlalu mencanangkan perihal mereka kerana khuatir hubungan mereka tidak menjadi. Bagaimanapun, lumrah sebagai pasangan kekasih, mereka sudah ada perancangan untuk ke arah lebih serius.

“Perancangan tu ada. Tapi saya tak mahu letak sebarang sasaran dan bercerita lebih-lebih, kerana saya tak tahu bila.”

Masih laku

Walaupun tak sepopular dulu, namun pelantun Aku Lebih Tahu ini, masih aktif menyanyi. Malah lagu-lagu dendangannya juga masih menjadi pilihan anak-anak muda di negara ini.

Lagu duetnya Cinta Kasih, bersama Nubhan, yang menjadi tema drama Cinta Qasih di Slot Samarinda, tahun lalu, juga masih segar dan menjadi siulan ramai.

Mengimbau karier seninya, pemilik nama Norsyarmilla Jirin ini mula dikenali selepas dinobatkan sebagai juara wanita pertama program realiti TV nyanyian popular, AF5 pada 2007.

Bakat seni yang dimilikinya bukan sahaja mencuri tumpuan syarikat rakaman tempatan, bahkan juga dari luar negara. Siapa sangka, penyanyi kelahiran Pulau Mutiara ini berjaya mencuri tumpuan sebuah syarikat rakaman di London.

Meskipun sempat merakam sepuluh buah lagu untuk dimuatkan dalam satu album Inggerisnya, namun hanya satu lagunya berjaya dimuat naik menerusi laman Youtube iaitu Break Down, di mana lagu itu punya pengikut tersendiri dan mencapai 100,000 tontonan.

Bagaimanapun, Mila mengambil keputusan menunda meneruskan hab kariernya untuk tinggal di London kerana masalah logistik ke negara itu dan tidak mampu berjauhan dengan keluarga. Bagi penyanyi yang pernah mengharumkan nama negara pada Festival Muzik Pop Peringkat Antarabangsa XVII pada 2008, di Bulgaria ini dia mampu membina landasannya sendiri.

Lebih bebas berkarya membuatkan Mila lebih selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

Namun, berbekalkan tuah dan rezekinya, Mila sangat teruja apabila Nova Music memberi kerjasama terhadap kerjaya seninya di mana penyanyi ini bakal mengeluarkan single solo dan duet terbaharunya bersama Nubhan melalui kerjasama dengan syarikat tersebut.

Menurut Mila, kini, dia masih dalam proses menyiapkan single terbaharunya berirama pop yang bersesuaian dengan pembawaan dan suaranya.

“Insya-ALLAH, saya bakal keluarkan single solo dan duet Hampir Jauh pada tahun ini. Namun single solo masih dalam proses rakaman.

“Sudah lama rasanya saya tak keluarkan sebarang lagu, ini adalah buah tangan saya selepas lagu duet bersama Nubhan untuk lagu Cinta Kasih, tahun lalu,” katanya.

Teraju utama ‘Kami Histeria’

Pernah membintangi beberapa filem seperti Kau dan Aku, Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Mila bakal tampil sebagai teraju utama dalam filem baharu berjudul, Kami Histeria, arahan Syamil Othman.

Filem komedi seram terbitan Astro Shaw & Mirna Films dengan kerjasama Alternate Pictures Sdn Bhd ini akan menemui penonton pada 6 Februari ini.

“Alhamdulillah, akhirnya mendapat kepercayaan daripada penerbit untuk saya memegang sebagai watak utama dalam filem ini.

“Banyak dugaan dan cabaran saya memegang watak Airin ini, namun ia merupakan pengalaman berharga saya untuk mencuba lebih baik dalam bidang lakonan,” katanya yang turut melakukan aksi sendiri menerusi filem itu.

Ditanya mengenai lambakan muka baharu yang kian membanjiri industri seni tanah air namun, menurut Mila ia bukanlah satu masalah besar baginya, kerana saingan yang sihat akan merancakkan lagi industri seni.

“Saya lihat adanya pertambahan orang baru dalam industri akan menghidupkan kembali dunia seni kita.

“Kerana sebagai anak seni kita perlu terus berjuang untuk memajukan industri dan tidak bersandarkan rupa semata-mata. saya yakin, ia merupakan satu perkara yang sihat.

“Malah orang barulah merupakan orang yang bakal warnai industri dan mencorakkan industri pada masa hadapan,” katanya yang juga bermula dengan kosong dalam industri ini dan tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang hanya tempelan.

Sebaliknya menurut Mila dia banyak bergantung kepada usaha sendiri untuk maju ke depan sekali gus mengasah bakat lakonannya.

Kembang perniagaan

Tinggalkan mengenai nyanyian dan lakonannya, Mila bukan sahaja dikenali sebagai artis, malah penyanyi genit ini juga aktif dalam membina empayar perniagaannya melalui LuvMILA Corporation Sdn Bhd.

Mengakui semakin sibuk menguruskan pengurusan pentas dan beberapa cabang bidang berkaitan sejak empat tahun lalu, Mila berharap syarikat di bawah naungannya ini akan bertambah cemerlang dan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Alhamdulillah, perniagaan yang saya jalankan bersama keluarga semakin baik dan saya mahu empayar ini terus kukuh. Ia sebagai sumbangan saya untuk memastikan kewangan keluarga terjamin,” katanya yang juga menguruskan perniagaan makanan, Embun Urai yang beroperasi di Tasik Prima, Puchong.

Anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini juga berhasrat meluaskan rangkaian yang sudah memasuki tahun keempat operasi, di beberapa lokasi yang bersesuaian.

Restoran yang mengetengahkan menu istimewa tomyam dan makanan laut itu diharapkan akan semakin berkembang dan menjadi pilihan masyarakat.

“Saya berharap, kepada sesiapa yang masih belum merasa masakan tom yam kelapa ini perlu mencubanya, kerana kelainan resipi yang disediakan oleh tukang masak kita adalah yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Mila berkata, dia sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana usahanya untuk berjaya dalam perniagaan semakin membuahkan hasil. - Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment