JAKARTA – Lebih daripada 25,000 orang telah meninggalkan rumah mereka ekoran letusan gunung berapi dan aliran lava panas dari sebuah gunung berapi di Indonesia.
Gunung Sinabung di pulau Sumatera mengeluarkan abu panas lebih 5,000 meter ke udara, beberapa kali pada hari Sabtu, kata pengarah Agensi Bencana Alam Nasional Tro Budiarto kepada AFP.
“Setakat ini, 25,516 orang telah dipindahkan. Tiada sesiapun yang berada dalam jarak lima kilometer dari kawah. Kami menggesa sesiapa yang berada dalam jarak tujuk kilometer dari kawah untuk turut berpindah,” katanya.
Lava panas, yang telah keluar dari gunung berapi itu sejak dua minggu lalu, telah mengalir ke dalam sungai dan mengisi lembah dan lurah bahan piroklastik, katanya.
“Berlaku letupan kecil apabila lava tersebut terkena air tetapi tiada kematian setakat ini. Kami menggesa orang ramai tidak menjalankan apa-apa aktiviti di dalam sungai,” katanya.
Gunung Sinabung merupakan salah satu daripada 129 gunung berapi aktif di Indonesia yang berdekatan dengan Lingkaran Api Pasifik.
Ia tidak meletup untuk 400 tahun tetapi meletup pada tahun 2010 diikuti dengan September lepas.
Gunung berapi yang paling aktif di negara itu iaitu Gunung Merapi di Jawa tengah, telah membunuh lebih 350 orang semasa letupan pada tahun 2010.
0 comments:
Post a Comment