PETALING JAYA – Lagu Botingkek nyanyian Waris yang ditolak daripada Anugerah Industri Muzik 20 (AIM 20) kerana ia karya ciplak tidak menghalang penyanyi itu terus mengambil karya-karya lain untuk dijadikan inspirasi dalam lagu yang ditampilkan.
Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 24, berkata, dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka apabila pihak AIM 20 menggugurkan lagu Botingkek untuk dicalonkan dalam senarai akhir anugerah tersebut bagi kategori hip hop.
“Saya berada dalam industri muzik ini bukan kerana ingin mencapai anugerah tetapi jika ada, ia satu bonus buat kerjaya saya.
“Apabila Botingkek ditarik keluar, saya faham dan perkara tersebut tidak menghalang saya menyampaikan lagu Melayu yang diambil daripada lagu-lagu lain,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Sebuah akhbar pada Khamis telah melaporkan, lagu Botingkek yang turut dinyanyikan Juzzthin ciptaan DJ Fuzz telah diciplak sepenuhnya daripada lagu Racks, nyanyian YC dan Future.
Hal tersebut membuatkan lagu tersebut ditolak terus daripada dicalonkan dalam AIM.Bagaimanapun lagu Rembau Most Wanted, ciptaannya sendiri layak ke peringkat akhir anugerah berprestij tersebut.
Tambah Waris, keadaan itu langsung tidak menjatuhkan semangatnya apabila ramai peminat sukakan Botingkek selain mesej lirik tersebut juga dianggap sampai kepada pendengar.
“Saya tahu ramai yang tidak memahami konsep muzik hip-hop yang menjadikan lagu lain sebagai sampel dalam sesebuah karya yang dihasilkan.
“Mungkin dengan menghasilkan lebih banyak lagu sebegitu pada masa depan akan mengubah persepsi masyarakat mengenai erti ciplak dalam sesebuah muzik hip-hop,” tegasnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Waris bakal muncul dengan sebuah lagu bergandingan dengan Datuk Hattan berkonsepkan muzik reggae. - mStar Online
Sumber
0 comments:
Post a Comment