Tuesday, 5 November 2013

SERAM!! Portal Pelancongan AS Senaraikan Villa Nabila, Danga Bay Antara Tempat PALING BERHANTU!

// // Leave a Comment

JOHOR BAHRU – Pusat pembangunan Danga Bay mungkin lebih dikenali sebagai sebahagian daripada projek bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan oleh Iskandar Malaysia.

Tetapi, ramai termasuk penduduk tempatan di sini tidak mengetahui bahawa, portal pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat, Expedia menyenaraikan ia antara lima tempat berhantu di Malaysia.

Ia tersenarai menerusi sebuah banglo lama tinggalan, dikenali sebagai Villa Nabila, terletak di atas bukit yang menghadap Selat Johor.

Banglo tersebut menyimpan rahsia selama 40 tahun dan terdapat beberapa versi bagaimana ia memperoleh status tersebut.

Ia termasuk kes pembunuhan yang berlaku di kalangan keluarga Caucasian kaya yang tinggal di banglo itu.

Versi lain mendedahkan bagaimana pembantu rumah merupakan dalang pembunuhan itu dan membunuh keluarga tersebut termasuk seorang anak perempuan bernama Nabila dan mayatnya ditanam di suatu lokasi dekat kawasan banglo tersebut.

Salah satu cerita yang menarik perhatian adalah ahli keluarga tersebut dibunuh oleh dua lelaki yang diupah oleh saudara mereka kerana sikap tamak.

Antara kepercayaan karut di sekitar kawasan itu adalah pelawat perlu memasuki rumah tersebut dalam nombor genap.

Sekiranya mereka melawat dalam nombor ganjil, terdapat ‘individu lain’ dalam kumpulan itu apabila mereka meninggalkan banglo tersebut.

Tinjaun The Star mendapat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di kawasan sekitar walaupun mengetahui bahawa banglo tersebut mungkin berhantu.

Salah seorang daripada mereka, Azmirul Syafiq Azmadi, 12, berkata dia dan rakan-rakannya datang ke kawasan itu untuk melihat sendiri jika terdapat hantu di rumah tersebut.

“Saya pernah terdengar mengenainya dari rakan saya dan orang tua bahawa rumah itu berhantu.

“Kami mungkin akan kembali lagi pada waktu malam untuk mencuba nasib,” katanya sambil menambah mereka tidak melihat sesuatu yang pelik.

Expedia turut menyenaraikan Kellie’s Castle di Perak, Banglo di Jalan Turi, Bangsar, banglo kolonial di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan Apartment Ria di Genting Highlands sebagai antara tempat-tempat lain untuk memburu hantu.

Penolong Pengarah Pelancongan Johor, Amirul Asyraf Ibrahim yakin menerusi penyenaraian itu akan menarik lebih ramai pelancong terutama mereka yang gemar melawat tempat-tempat menyeramkan.

“Di negara lain, terdapat beberapa pakej mengenainya untuk menarik pemburu hantu dan mereka yang mahukan sesuatu yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan ejen pelancongan bagi mempromosikan pakej aktiviti memburu hantu dan fenomena ghaib di Johor. – The Star




Sumber

0 comments:

Post a Comment