WAJAH Xiao yang bengkak (kanan). |
Beijing: Seorang wanita yang cuba mendapatkan suntikan untuk menggebukan pipinya di pusat rawatan haram selepas diberitahu majikannya yang mukanya cengkung kini mengalami kecacatan.
Xiao Lian dari Gansu, China hanya berusia 17 tahun apabila dia mendapatkan suntikan menggebukan pipinya.
Pada mulanya Xiao gembira dengan keputusan suntikan itu tetapi lima tahun kemudian, dia mula menghadapi masalah. Kini mukanya yang bengkak menyebabkan dia kelihatan lebih tua berbanding usia sebenarnya iaitu 28 tahun.
Xiao sentiasa bencikan mukanya yang cengkung dan komen majikannya di kedai tempat dia bekerja sambilan menjadi pendorong untuk dia mengubah penampilannya.
“Muka kamu sangat cengkung dan kamu nampak macam orang miskin. Wajah kamu ini menyebabkan golongan kaya tidak mahu ke kedai ini,” kata majikannya sebagaimana dipetik daripada Guilin Life News.
Xiao kemudian memutuskan untuk mendapatkan prosedur untuk menggebukan pipinya.
Namun ketika dia bertanya di klinik pembedahan plastik, kos prosedur itu terlalu mahal dan dia tidak mampu untuk melakukannya.
Ekoran kekecewaannya, rakan Xiao membawanya ke sebuah klinik lain yang berjanji akan menawarkan prosedur sama dengan harga lebih murah.
Kali ini dia mampu untuk melakukan prosedur itu. Doktor yang menjalankan rawatan itu kelihatan mahir walaupun klinik terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah.
Doktor terbabit menyuntik muka Xiao sebanyak 10 kali dalam tempoh sebulan. Pada awalnya, suntikan itu benar-benar menggebukan pipinya dan dia amat gembira dengan keputusan yang diperoleh itu. Bagaimanapun, pada 2009 ketika dia berusia 24 tahun, mukanya mulai bengkak. Hidung, mata dan bentuk wajahnya juga mula berubah. Pada awal tahun ini, muka Xiao betul-betul bengkak, matanya melendut dan rambutnya juga mulai gugur.
Dia pergi mendapatkan nasihat doktor di hospital dan turut menjalani ujian yang menunjukkan selama ini dia diberi suntikan gel hydrophilic polyacrylamide. Bahan itu sebelum ini digunakan untuk membesarkan payudara, tetapi kini diharamkan di China untuk penggunaan pembedahan kosmetik selepas didapati bertoksik.
Xiao benar-benar trauma dengan apa yang berlaku hingga dia pernah terfikir untuk membunuh diri.
Kini, dia menjalani pembedahan memperbaiki wajahnya di pusat pembedahan kosmetik di Guangzhou.
Doktor memberitahunya disebabkan bahan bertoksik itu masih ada dalam tubuhnya untuk tempoh lama, maka sukar untuk memulihkan prosedur asal itu. - Agensi(myMetro)
Sumber
0 comments:
Post a Comment