Tuesday, 22 October 2013

AL-FATIHAH.. Episod Suka Dan Duka Allahyarhamah Noreen Noor….

// // Leave a Comment

AKHIRNYA, setelah bertahun tanpa jemu memujuk penyanyi/pelakon Noreen Noor untuk penggambaran muka depan MIDI, hasrat tersebut terlaksana. Penyanyi yang suatu ketika dahulu digelar sebagai ‘artis paling seksi Malaya’ itu tampil dalam gaya cukup sederhana; berseluar jean dengan blaus bunga-bunga.

Biarpun tubuhnya kelihatan sedikit berisi, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Siang Terbayang Malam Merindu ini tetap tampil menawan. Paling ketara wajahnya, kelihatan berseri-seri walaupun hanya dioles gincu tipis.
“Saya kini mendapat semangat hidup yang baru. Kehidupan juga lebih gembira dan membahagiakan. Alhamdulillah,” katanya bersungguh-sungguh sambil membiarkan wajah cantiknya mula didandan.
Setelah bertahun hidup dalam kemurungan dan tekanan, semangat baru ini memang amat diperlukan olehnya. Tanpa mahu lagi mengungkit kisah duka lalu, Noreen berkata, “ Kini saya belajar melupakan semua yang sedih dan menyakitkan. Saya mahu memandang ke hadapan dengan semangat membara.”
Ditanya bagaimana dia boleh bangkit daripada kesedihan yang menghantui hidupnya, Noreen dengan perlahan menjawab, “petunjuk ALLAH.”
Cerita artis yang berasal dari selatan tanah air ini, sepanjang dia bersedih dan mengurung diri, tawaran diterima tidak pernah putus. Tapi semuanya ditolak mentah-mentah kerana dia tidak sanggup berdepan dengan orang ramai.
“Sampailah satu hari Prof Madya Abdul Razak Mohaideen cakap, ‘Noreen sampai bila nak jadi begini. OK lah, ini tawaran terakhir I’. Tak tahu kenapa cakapnya itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya. Perlahan-lahan saya mula bertanya diri sendiri tentang macam-macam perkara. Saya juga bermuhasabah diri. Alhamdulillah, perlahan-lahan ALLAH buka jalan untuk saya melihat mana yang baik dan mana yang tidak dalam hidup saya ini,” ceritanya dengan suara sebak.
Pemergiannya menunaikan umrah mengembalikan ketenangan yang dicari-cari. Dari situ lahirlah semangat yang kini membara dan bersarang di hatinya. “Alhamdulillah, syukur. Inilah yang saya ucapkan pada setiap detik kerana Dia memberi saya peluang ini.”
Mengakui hidupnya lebih teratur kini, pelakon filem ‘Raya Tak Jadi’ ini memberitahu bahawa dengan semangat yang baru dia mahu memperuntukkan sebahagian besar masa yang ada untuk anak-anaknya iaitu Danial (20) dan Diana Tihani (10).
“Sepanjang saya bersedih, memang saya tidak begitu mengambil berat tentang anak-anak. Bukan tidak ambil tahu langsung, tetapi saya memang jarang meluangkan masa keluar bersama, makan-makan ataupun berbual dengan mereka. Kasihan anak-anak terpaksa berhadapan dengan situasi ini,” katanya.
Tambahnya, “sepanjang masa tersebut anak-anak yang menjaga saya. Merekalah yang mendengar keluh-kesah saya dan menghulurkan tangan menyapu air mata saya yang berguguran.”
Jadi peluang yang ada kini Noreen benar-benar berazam untuk ‘membayar’ semula masa-masa yang telah berlalu. Banyak yang dirancang untuk dihabiskan dengan anak-anak.
“Yang paling seronok ialah dapat berkongsi cerita dengan mereka. Nikmat sungguh kehidupan ini rasanya,” tambahnya sambil tidak putus-putus mengucap syukur.
(artikel di atas dipetik dari Majalah MIDI terbitan Karangkraf yang disiarkan pada September tahun lalu)
NOTA: Noreen Noor, 54, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira- kira 5.50 pagi tadi.

Sumber

0 comments:

Post a Comment