ROMPIN 4 Sept. - Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang lelaki nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah mereka di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, di sini, hingga cedera parah terkena 11 tetakan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Johari Yahaya berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu mangsa yang berumur 27 tahun, bersama ibunya, 57, dan adik perempuannya, 23, sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia.
"Mangsa yang panik melihat suspek di dalam rumahnya bertindak melawan dan bergelut dengan suspek. Mangsa juga mendakwa sempat memukul salah seorang suspek dengan besi pasu bunga sebelum ditetak di tangan kanan, jari kiri, belakang badan dan bahagian tepi pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau berkata, selepas pergelutan itu suspek bertindak menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.
Ibu dan adik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut. - Utusan
0 comments:
Post a Comment