Thursday, 12 September 2013

Bayi enam bulan retak kepala, koma didera pengasuh!

// // Leave a Comment
Mangsa yang disyaki didera oleh pengasuhnya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

SHAH ALAM – Seorang bayi enam bulan yang disyaki didera, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas mengalami sesak nafas ketika dalam jagaan pengasuh di Jalan Yadi, Teluk Gadong Kecil, Klang, petang kelmarin.

Nur Sofea Insyirah Mohd Sharil difahamkan dihantar pengasuh ke Hospital Pantai Klang untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian selepas bapa mangsa, sebagai posmen, membuat laporan polis kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Beliau berkata, bapa mangsa memberitahu pengasuh wanita berusia 28 tahun itu menghubunginya pada jam 4.30 petang kelmarin, memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, ketika itu bapa mangsa berada di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, atas urusan kerja dan meminta isterinya, seorang kerani, untuk melihat keadaan anak mereka.

Katanya, menurut bapa mangsa yang berusia 28 tahun itu, bayi itu dihantar kepada pengasuh sejak usia dua bulan dengan bayaran RM300 sebulan.

“Sepanjang tempoh empat bulan di bawah jagaan pengasuh, dahi bayi itu pernah melecet tergesel di karpet.

“Khamis lalu, dahi bayi itu lebam dan pengasuh tersebut memberi alasan ia disebabkan terkena botol susu,” katanya, semalam.

Mohamad berkata, laporan perubatan yang diterima daripada doktor mengesahkan terdapat kesan retak pada tengkorak kiri mangsa, selain pendarahan di tengah otak serta lebam di dahi bayi tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan kecederaan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi tersebut didera.

“Kita dah tahan pengasuh itu di rumahnya petang tadi (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

“Semakan awal mendapati mangsa tidak memiliki rekod jenayah,” katanya.

Sinar harian

0 comments:

Post a Comment