POLIS Johor telah menahan seorang pengurus resort di Sedili Besar, Kota Tinggi hari ini atas dakwaan membenarkan sekumpulan penganut bukan Islam menjalankan upcara keagamaan di surau resort berkenaan.
Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pengurus berusia 45 tahun itu ditahan di resort tersebut pada 2 petang.
“Satu pasukan khas diwujudkan dan diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Ismail Yatim bagi menyiasat kes tersebut.
“Kes disiasat mengikut seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wartawan Mynewshub.my yang tiba di resort berkenaan pada kira-kira pukul 9 malam mendapati resort berkenaan sudah pun dikunci dan tidak ada sesiapa dibenarkan masuk.
Surau yang dikatakan menjadi kontroversi juga diterangi lampu tetapi papan tanda nama surau berkenaan telah diletakkan di bawah selepas ia ditanggalkan.
Ia dipercayai selepas arahan dari pihak Istana yang menyebut baginda Sultan Johor mengarahkan surau itu dirobohkan.
Tinjauan mynewshub yang menemui beberapa orang penduduk kampung mendapati mereka mengetahui bahawa resort berkenaan kerap didatangi oleh sami-sami Buddha sejak beberapa minggu lalu.
Ia menyebabkan ada penduduk kampung tidak berpuas hati dan cuba menghentikan kegiatan berkenaan dari terus diadakan di surau itu.
Laporan Bernama juga menyebut Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan memutuskan tindakan dalam tempoh terdekat terhadap pengusaha sebuah resort di Sedili Besar, di sini, yang membenarkan surau di resort itu digunakan untuk upacara keagamaan lain.
Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin berkata keputusan itu akan dibuat selepas siasatan terperinci dilakukan pihaknya mengikut Seksyen 7(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“Berdasarkan pemantauan dan tinjauan terhadap surau itu kita dapati ada keraguan dari segi reka bentuknya. Kedudukan arah kiblat juga tersasar dari Kaabah malah menghadap luar dari kawasan Masjidil Haram,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat surau itu di resort berkenaan yang membenarkan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura menggunakan surau itu bagi melakukan meditasi.
Hadir sama, Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noor Azam Osman.
Pemilik sebuah resort berhampiran iaitu Jason Bay Beach Resort yang enggan dikenali berkata penduduk kampung sememangnya tidak berpuas hati dengan pengurus resort berkenaan yang dikatakan seorang warga Singapura.
Beliau turut mendengar cakap-cakap berkaitan perkara yang mengatakan resort berkenaan kerap menerima pengunjung atas nama keagamaan.
0 comments:
Post a Comment