Monday, 10 June 2013

Lelaki luar biasa bernama Eyang Subur

// // Leave a Comment

EYANG SUBUR seorang lelaki luar biasa di Indonesia. Walaupun usianya sudah tidak sesubur mana, namun beliau merupakan lambang seorang lelaki sejati.
Sejak dua bulan lalu, berita mengenai Eyang mendapat liputan meluas media tempatan terutamanya berkenaan ‘perang mulut’ dengan bekas anak didiknya, aktor Adi Bing Selamat.
‘Perang mulut’ itu akhirnya menjadikan Eyang personaliti yang cukup popular di mata masyarakat kerana menerima publisiti meluas daripada media tempatan.
Bahkan kerana publisiti itu juga maka terdedah pelbagai misteri kehidupan peribadi Eyang yang akhirnya membuatkan seluruh negara gempar.
Semuanya berpunca daripada pendedahan yang dibuat mengenai Eyang meluaskan ajaran sesat sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan ke atasnya.
Bermula dengan pihak polis sehinggalah Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengklasifikasikan ajaran Eyang menyimpang dengan tuntutan agama.
Di awal perenggan artikel ini ada ditulis yang Eyang adalah lambang seorang lelaki sejati yang sebetulnya merujuk kepada kemampuannya bernikah dan tinggal sebumbung dengan lapan orang isteri.
Tentu sekali di kalangan anda yang membaca artikel ini akan beranggapan berita ini tidak benar.
Hakikatnya, Eyang memang memiliki lapan orang isteri dan realiti ini bukan suatu perkara yang mudah untuk dipikul oleh seorang lelaki normal.
Apa lagi Eyang bukanlah seorang bangsawan atau jutawan, sebaliknya, beliau hanyalah seorang dukun tradisional dan tukang tilik.
Di mata kasar, seandainya kita melihat susuk tubuh Eyang tentu sekali ramai yang tertanya-tanya bolehkah lelaki yang sudah berusia 70-an itu melayani isteri-isterinya?
Apa pula keistimewaan atau rahsia yang dimiliki oleh Eyang di sebalik keupayaan dan kemampuan beliau memenuhi tuntutan sebagai seorang suami?
Ketika sebilangan besar masyarakat kehairanan melihat tindak-tanduk Eyang yang bertentangan dengan syariat Islam, isteri-isteri Eyang pula hidup rukun dan bahagia.
Tidak pernah ada sebarang kekecohan dalam rumah tangga itu termasuk hubungan mesra antara anak-anak mereka.
Isteri-isteri Eyang menegaskan, mereka sesama madu sangat bahagia tinggal bersama Eyang.
“Kalau ada yang mendakwa anak-anak saya tidak diurus dengan baik bagaimana mereka boleh hidup dan bersekolah?
“Bahkan kesihatan anak-anak saya juga terjamin. Hubungan anak-anak dengan Eyang sangat baik, kerana Eyang tidak membezakan kasih sayang antara anak-anak yang baru dengan sebelumnya," jelas Nita, isteri ketujuh Eyang.
Bagaimanapun, kebahagiaan yang sedang Eyang dan isteri-isterinya kecapi itu hanya untuk sementara waktu sahaja.
Beliau terpaksa menerima hakikat bahawa tindakannya itu tidak betul menyebabkan MUI meminta beliau untuk segera kembali kepada ajaran Allah.
Personaliti paranormal kontroversi ini diminta oleh MUI untuk segera menceraikan empat isterinya yang dinikahi secara tidak sah.
Mujur Eyang menerima pandangan dan nasihat MUI dengan penuh terbuka serta membuat pengakuan akan segera bertaubat dan menceraikan empat isterinya termasuk dua daripada mereka yang saudara kandung (kakak dan adik).
“Saya menyedari kekhilafan saya yang beristeri lebih daripada empat. Mulai sekarang saya faham itu tidak boleh menurut Islam," kata Eyang.
Bahkan, beliau juga dengan ikhlas melepaskan empat orang isterinya.
“Saya tidak tahu kalau hukum Islam begitu," kata Eyang yang mendakwa tidak tahu Islam tidak membenarkan seseorang lelaki memiliki lebih daripada empat isteri dalam satu masa.
Siasatan yang dibuat MUI mendapati Eyang melakukan penyimpangan akidah dan syariat Islam sehingga berjaya mempengaruhi ramai pengikutnya dan perlu bertaubat.
“Amalan agama beliau bertentangan dengan syariat terutama menikahi wanita lebih daripada empat orang dalam satu masa.
“Eyang juga mempraktikkan amalan perdukunan dan peramalan," kata Ketua MUI, Ma'ruf Amin menjelaskan salah laku Eyang yang bertentangan dengan syariat Islam.
Sekalipun mendakwa diri beliau tidak begitu arif dengan hukum Islam, namun, Eyang mempunyai matlamat lain pula dalam hidupnya.
Eyang secara terbuka baru-baru ini memberitahu media yang beliau mahu menjadi pemimpin kepada seluruh rakyat Indonesia pula.
Dalam erti kata mudah, Eyang mahu menjadi calon Presiden Indonesia 2014.
Kata Eyang, beliau memiliki banyak alasan kenapa mahu menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
“Alasan yang pasti ialah negara ini sakit dan pemimpinnya tidak memikirkan rakyat," kata peguam Eyang, Ramdan Alamsyah memetik kata-kata anak guamnya baru-baru ini.
Menurut Ramdan, Eyang sangat menyedari apa yang diperlukan rakyat Indonesia ketika ini ialah kesejahteraan hidup.
“Yang utama sekarang ialah kesejahteraan untuk rakyat, bukan untuk keluarga pemimpin. Eyang memiliki jiwa sosial yang tinggi meskipun tidak ada latar belakang politik.
“Eyang juga melihat, ketika ini Indonesia sudah kehilangan jati dirinya," tambah Ramdan lagi.
Semoga apa yang dihajati Eyang untuk menjadi pemimpin negara ini sekadar gurau senda beliau sahaja.
Barangkali, ramai di kalangan kita yang ragu-ragu dengan kemampuan orang seperti Eyang untuk menjadi Presiden Indonesia.
Kebiasaannya orang-orang seperti Eyang yang memiliki karakter sebegini berada di mana-mana sahaja.
Mereka ini bijak mengambil kesempatan di atas populariti yang ada sedangkan hakikatnya mereka ini tidak memiliki apa-apa untuk melayakkan mereka menjadi seorang pemimpin.

Sumber

0 comments:

Post a Comment